Walau mahasiswa masih dibelenggu isu sekitar perjuangan kemahasiswaan di kampus, isu umat tidak sewajarnya disejukkan. Saya tidak nafikan, pelbagai ujian sedang melanda gerakan mahasiswa hari ini namun, ianya bukan satu halangan untuk kita melupakan isu sekitar yang melanda umat di serata dunia. Paling menyedihkan, jika mentaliti mahasiswa masih terbelenggu dengan pemikiran bahawa zaman mahasiswa hanya perlu menumpukan akitiviti bilik kuliah semata-mata. ”belajar dulu, lepas belajar, engkau terlibat apa pun tak pe...”.
Isu Selatan Thailand. Di mana suara mahasiswa?
Sudah ada kedengaran suara-suara mahasiswa namun ianya belum memberikan satu momentum yang besar untuk menyedarkan masyarakat dan sebagai pressure group. Masih banyak kisah-kisah sebenar yang digelapkan media kepada masyarakat. Maka suara mahasiswa sebagai elemen sedar masyarakat perlu diperkasakan. Isu selatan Thailand bukan sekadar pembunuhan di Masjid Kerisek, Tak Bai serta pembunuhan melampau di Masjid Furqan pada 8 Jun 2009 baru-baru ini. Masih banyak pembunuhan demi pembunuhan di sana yang disembunyikan. Ada di kalangan guru-guru agama yang hilang begitu sahaja entah ke mana.
Kuasa media seolah-olah menyebabkan pandang sisi stereotaip masyarakat dunia kepada masyarakat Islam di selatan Thai sebagai masyarakat yang ganas dan merekalah punca kepada peristiwa berdarah yang berlaku saban hari.
Peristiwa yang berlaku pada hari ini adalah rentetan usaha terancang sebagai ”usaha pembersihan” umat Islam di selatan Thailand. Sejak Pattani dijajah pada 1785, pelbagai usaha dilakukan. Penghapusan Pemerintahan Beraja Melayu serta Perjanjian Bangkok 1902 menambah barah apabila British mengiktiraf Siam menaungi negeri-negeri Melayu utara.
1 November 1945, mereka pernah merayu kepada British untuk bebas dari penjajahan Siam namun, rayuan hanya tinggal rayuan. Tuan Guru Haji Sulung pernah membuat beberapa tuntutan demi kesejahteraan Pattani, namun cadangannya ditolak bahkan dia didakwa dan dipenjarakan. Pada 1954, beliau telah ”hilang” dipercayai dibunuh oleh pihak Siam sebagaimana taktik sama yang dilakukan pada hari ini.
Pelbagai usaha telah dilakukan termasuk memohon dari PBB untuk menyelesaikan isu ini melaui rundingan, namun ianya seolah-olah dipandang sepi. Pihak PULO juga pernah mengajak Dr. Mahathir Mohamad pada 11 Jun 1982 untuk mengambil berat serta mencari jalan penyelesaian kepada isu di selatan Thailand. Persoalannya di sini, apa pendirian dan bantuan Malaysia hari ini?
Jika tahun lalu, beribu-ribu mahasiswa turun beramai-ramai ke kedutaan Mesir membantah dan mengutuk tindakan kejam Hosni Mubarak yang menutup sempadan sehingga menyebabkan bantuan kemanusiaan tersekat. Jika Malaysia masih tidak mengambil apa-apa tindakan serius terhadap isu ini, mungkin rakyat seluruh dunia pula akan bangkit mengutuk Malaysia yang seolah-olah membutakan mata dan membisu dalam isu selatan Thailand ini. Jangan disebabkan terlalu bermain-main dengan krisis politik kita melupakan isu jiran terdekat kita.
Penindasan terhadap saudara-saudara kita di Palestin begitu mendapat simpati yang baik dari seluruh masyarakat termasuk NGO-NGO yang begitu aktif dalam isu tersebut. Namun, di mana NGO-NGO dalam memperjuangkan isu selatan Thailand ini? Apakah aqidah mereka tidak sama dengan masyarakat Palestin? Begitu juga mahasiswa. Apakah mahasiswa sedang menanti kenyataan Menteri Pengajian Tinggi untuk ”menghalalkan” bantahan terhadap Thailand sebagaimana bantahan terhadap Zionis tahun lalu? Apa tindakan kita?
Isu ketegangan etnik di Xinjiang pula bagaimana?
Nah, isu yang masih panas sehari dua ini berkaitan ketegangan etnik Han dan minoriti Muslim Uighur, apa pula kata mahasiswa? Ketegangan etnik yang sehingga kini menyebabkan kematian lebih kurang 156 terkorban dan lebih 1000 orang dilaporkan cedera ini adalah isu serius. Media melaporkan Xinjiang ialah tempat bagi kaum Uighur yang mendakwa bahawa mereka didiskriminasi oleh kaum majoriti Han.
Apakah masih ada mahasiswa yang tidak tahu? ”Tak Pe, belajar dulu, buat dulu assighment. Lepas ni la....” Apakah hujah ini masih diguna pakai oleh mahasiswa?
Mahasiswa adalah pemimpin masa akan datang. Ya, belajar di bilik-bilik kuliah adalah untuk masa depan yang lebih gemilang namun ianya belum mencukupi sebagai survival mahasiswa untuk bermasyarakat dan memimpin dunia. Benarlah kata-kata Bapak Natsir :
“Pemimpin tidak lahir di bilik kuliah tetapi tumbuh sendiri dalam hempas pulas kancah, muncul ditengah-tengah kumpulan masalah, menonjol dikalangan rakan seangkatan lalu diterima dan didokong oleh umat”
Datanglah beramai-ramai anda boleh mendaftar di bilik ISIUKM atau menghubungi Wan Ahmad Fahmi 0175342873 Siti Aishah 0133266591 untuk dapatkan maklumat lanjut
Bangi, 6 Julai – Satu sesi dialog antara pimpinan ISIUKM dengan Timb. Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Prof. Dato’ Dr. Mohamad B. Abdul Razak telah diadakan di pejabat beliau. Pertemuan yang berlangsung selama kira-kira 1 jam tersebut memberi peluang kepada para pimpinan untuk beramah mesra di samping membincangkan pelbagai isu. Antara ialah gerakan dakwah di kampus, isu keselamatan pelajar, yuran kolej dan masalah jangkitan Infeluenza H1N1 pada Minggu Mesra Pelajar baru-baru ini.
Mengulas tentang gerakan dakwah di kampus, Y.Bhg. Dato’ amat bersetuju sekiranya usaha untuk menyebarkan dakwah digiatkan.
”Kita sememangnya perlu saling nasihat-menasihati dan perkara yang bertentangan dengan agama perlu ditegur. Falsafah UKM sendiri menekankan iman, ilmu dan amal.” kata beliau lagi.
Beliau juga bersetuju dengan penganjuran wacana dan forum ilmiah kerana ianya dapat mematangkan pemikiran mahasiswa. Di samping itu, beliau akan mempertimbangkan cadangan Presiden ISIUKM, Mohd Idris B. Mohd Yussoff untuk mewujudkan semula ’speaker corner’ atau sudut untuk berpidato bagi mengasah bakat kepimpinan dalam kalangan mahasiswa/i.
Berkaitan isu keselamatan, Timb. Pengerusi Lajnah Tarbiyyah, Siti Aisyah Bt. Mohd Yussoff telah menyarankan agar diperbanyakkan CCTV di kampus khususnya di kolej kediaman untuk tujuan keselamatan. Kewujudan pondok polis dalam kawasan kampus juga wajar dipertimbangkan bagi membanteras masalah kecurian motor yang semakin berleluasa.
Pada akhirnya, Y.Bhg. Dato’ berharap agar Ikatan Studi Islam UKM dapat terus berjuang dan menjadi pimpinan negara pada masa akan datang.
”Teruskan berjuang, tanggungjawab kita besar. ISIUKM perlu berperanan sebagai check & balance.” ujar beliau.
Y.Bhg. Dato’ juga mengalu-alukan cetusan idea dan maklumbalas daripada ISIUKM supaya mahasiswa/i dapat bergerak seiringan dengan pihak pentadbiran untuk memimpin perubahan selari dengan halatuju yang telah digariskan.
Mahasiswa mempunyai maksud dan peranan yang lebih luas dari apa yang kita sama-sama simpulkan.Jika dilihat sendiri secara harfiah pada perkataan M.A.H.A.S.I.S.W.A, sebenarnya ia terdiri oleh 2 suku kata iaitu maha yang membawa maksud besar dan berkuasa; dan siswa yang merujuk pada sekelompok pelajar atau penuntut di institusi pengajian tinggi.
Hasil sintesis kedua-dua suku kata ini memberi makna yang lebih tinggi iaitu satu ‘bangsa’ yang bukan sahaja mulia disebabkan kesempatan belajar di institusi peringkat tinggi, tetapi turut mempunyai kuasa mobilisasi massa berteraskan kapasiti intelektual yang dimiliki oleh mereka. Dr. Zuhdi bin Marzuki (Univ.Malaya, 2001) mendifinisikan mahasiswa sebagai suatu kelompok pelajar yang yang berada dalam peringkat paling tinggi dalam sistem pendidikan formal sesebuah negara. Penggemblingan tenaga kelompok ini berteraskan daya keintelektualan yang bersifat idealis untuk mencapai matlamat yang digagaskan bersama, selaras dengan kedudukan mereka di menara puncak ilmu. Natijahnya, lahir suatu arus gerakan yang senantiasa bersama dengan kebenaran (al-Haq) dan sama sekali tidak bersekongkol dengan kebatilan hatta kelompok mereka ini dikenali sebagai independence group.
Mahasiswa UKM dahulu memang menghayati spirit-spirit seperti ini. Mereka bukan sahaja menjadi ulat buku di perpustakaan dan bilik-bilik kuliah, malah sangat peka dengan isu-isu yang melibatkan kepentingan mereka dan masyarakat. Mereka senantiasa berfikir dan tahu bagaimana untuk menyuarakan pandangan mereka secara penuh rasional dan sopan. Realiti ini telah meletakkan kepemimpinan mahasiswa UKM dahulu sebagai ‘jurubicara ummah’ (bagi mahasiswa), pemangkin (catalys), agen perubahan (agent of change), semak dan imbang (check and balance), golongan pendesak (pressure group) dan........... baca lagi.
Bangi, 4 Julai- Perasmian Pesta Buku sempena Karnival Kesenian Dan Keilmuan Islam yang diadakan di Bangunan PKNS Bangi telah disempurnakan oleh YB Nik Nazmi B Nik Ahmad yang merupakan ADUN Seri Setia merangkap Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, YB Tan Sri Abdul Khalid B. Ibrahim. Program tersebut dianjurkan oleh Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi dengan kerjasama beberapa organisasi lain termasuk Ikatan Studi Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (ISIUKM).
Karnival ini bermula pada 30 Jun dan bakal berakhir pada 15 Julai 2009. Perasmian turut dihadiri oleh ADUN Bangi, YB Dr. Syafie B. Abu Bakar ; YDP Majlis Perbandaran Kajang, Y.Bhg. Dato' Hasan Nawawi B Abd Rahman dan Presiden ISIUKM, Mohd Idris B. Mohd Yussoff.
YB Nik Nazmi dalam ucapannya menyatakan setinggi-tinggi penghargaan dan berharap agar program tersebut dapat diteruskan pada masa akan datang. Beliau juga berpandangan, percambahan pemikiran atau pertentangan pendapat wajar dizahirkan melalui penulisan dan penerbitan bahan ilmiah.
”Pesta Buku ini merupakan salah satu usaha yang perlu digiatkan dalam usaha membudayakan ilmu di Bangi dan memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat.”ujarnya lagi.
Presiden ISIUKM, Saudara Mohd Idris B. Mohd Yussof pula menganggap program ini amat bertepatan dengan konsep Bangi sebagai Bandar Ilmu.
”Mahasiswa berasa bertanggungjawab untuk bersama-sama dengan masyarakat bagi merealisasikan hasrat melahirkan golongan masyarakat terpelajar. Namun begitu, saya berharap agar kemudahan seperti perpustakaan perlu diperbanyakkan dan sumber bahan bacaan perlu diperkasakan supaya Bangi mampu menjadi hub sumber ilmu pengetahuan pada masa hadapan.” kata beliau.
IKATAN STUDI ISLAM UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA, BANGI
Aras 3 Bangunan Pusanika
43600 Bangi, Selangor
Malaysia
isiukminfo@yahoo.com | http://isiukm.blogspot.com